Alif Ba Jim Dal

Rabu, November 21, 2007

Warisan Ulama' - Ulama' Nusantara

Abu Bakar al-Funtiani Ulama pengembara
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DI DALAM ruangan Agama, Utusan Malaysia minggu lalu penulis menyentuh bahawa salah seorang keturunan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani ada yang berkahwin dengan keluarga ulama Pontianak. Tanpa penulis menduga bahawa ulama yang akan diriwayatkan ini pernah menjadi sahabat dan guru kepada orang tua penulis dan mempunyai keluarga di Seberang Perai. Dalam tahun 1949 - 1950 di beberapa pulau di Pulau Tujuh, Kepulauan Riau didatangi oleh seorang ulama besar dari Singapura.

Masyarakat menyebutnya Pak Tuan Alim Haji Abu Bakar. Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, Ketua Syarikat Al-Ahmadi & Co. Midai dan cawangannya Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura mengarahkan orang tua penulis, Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman, supaya mengeluarkan dana syarikat itu untuk mendirikan sebuah rumah wakaf sebagai kediaman ulama tersebut. Rumah wakaf tersebut masih ada hingga sekarang. Ia terletak di sebelah kanan Masjid Baiturrahman di Pulau Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau.

Sejak tahun 1950, Pak Tuan Haji Abu Bakar yang berasal dari Pontianak itu mempunyai kesan tersendiri dalam ingatan penulis, sungguhpun penulis lama tinggal di Pontianak namun sedikit sahaja memperoleh data mengenainya. Tokoh yang diriwayatkan ini diperoleh di Seberang Perai dalam rangka menjejaki asal-usul ulama yang berada di kawasan itu, tepatnya pada 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi dan 6 Rejab 1425 Hijrah/22 Ogos 2004 Masihi. Di antara yang terpenting yang diperoleh di Pematang Bertam, bahawa ayah saudara Pak Tuan Haji Abu Bakar bernama Haji Ali bin Haji Muhammad Nur Pontianak meninggalkan keturunan yang ramai di Seberang Perai. Ayah Pak Tuan Haji Abu Bakar bernama Haji Abdul Ghani bin Haji Muhammad Nur adalah adik beradik kepada Haji Ali bin Haji Muhammad Nur. Adik beradiknya seramai 27 orang yang menetap di banyak tempat di dunia Melayu. Beberapa orang yang menjadi ulama besar di antaranya akan disentuh serba ringkas dalam artikel ini.

Riwayat

Setelah penulis menggabungkan hasil penyelidikan terkini yang diperoleh di Seberang Perai dengan dokumen Riau dan Pontianak yang ada pada penulis, maka dapatlah dipastikan bahawa Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar) itu adalah seorang penyandang gelaran Dato' Kaya Lela Pahlawan. Ada pun Haji Muhammad Nur atau Haji Muhammad Nur Putih itu ketika berada di Kemboja bernama Wan Muhammad Daram. Oleh itu nama lengkap ulama yang berasal dari Pontianak yang diriwayatkan ini ialah Haji Abu Bakar bin Dato' Kaya Lela Pahlawan Haji Abdul Ghani bin Haji Muhammad Nur Putih @ Wan Muhammad Daram bin Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jeramat bin Umar (Megat Laksamana) bin Utsman (Dato' Kaya Megat Patan Pahang) bin Tuan Qadhi Ahmad. Tuan Qadhi Ahmad, datuk neneknya berasal dari Melaka yang terpaksa berpindah ke Bentan, seterusnya ke Kampar dan Minangkabau dalam peristiwa kedatangan Portugis.

Haji Muhammad Nur Putih @ Wan Muhammad Daram setelah mengembara ke pelbagai tempat di dunia Melayu akhirnya membuka kampung yang dinamakan Kampung Kemboja di Pontianak. Seluruh kampung itu adalah milik beliau. Berdampingan dengan Kampung Kemboja dinamakan Kampung Saigon dimiliki oleh Haji Yusuf Saigon adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Haji Muhammad Nur Putih berkahwin banyak kali dan dikatakan mempunyai anak 27 orang. Setakat ini yang dapat dikesan hanya 10 orang.

Sebar

Anak-anak beliau ialah:

1. Haji Sulaiman bin Muhammad Nur, beliau menyebarkan Islam di Lombok. Menurut riwayat, sampai sekarang masih terdapat pondok pesantren yang diasaskannya. Salah seorang anak beliau yang menjadi ulama besar ialah Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani. Beliau menghasilkan beberapa buah karya iaitu Babul Jum'ah, 28 Jamadilawal 1316 Hijrah, cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 Hijrah. Tuhfatur Raghibin fi Taqlidil Qauli bi Shalatil Jum'ati bi Dunil Arba'in, 27 Syawal 1319 Hijrah, cetakan yang pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1319 Hijrah. Nuzhatut Tharaf fi Auzani Ilmis Sharfi, 6 Syawal 1321 Hijrah, cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 16 Safar 1322 Hijrah.
2. Haji Husein bin Muhammad Nur.
3. Haji Shalih bin Muhammad Nur.
4. Haji Ali bin Muhammad Nur, berkahwin dengan Hajah Sa'diyah binti Haji Abdullah bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani, anak-anaknya ialah: Aisyah, Abdur Razaq, Azizah dan Jamil.
5. Hajah Kaltsum binti Muhammad Nur.
6. Haji Abdul Ghani bin Muhammad Nur, anaknya Haji Abu Bakar Pontianak, yang sedang diriwayatkan.
7. Haji Mushthafa bin Muhammad Nur.
8. Haji Abdul Hamid bin Muhammad Nur,
9. Haji Abdul Aziz bin Muhammad Nur, termasuk salah seorang ulama besar Pontianak, menghasilkan di antaranya, Risalah Kitabish Shalah, bulan Zulhijjah 1316 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 6 Safar 1317 Hijrah, dengan huruf batu (litografi). Karyanya yang lain ialah Isnadul Ghulam fi Bayanil Imani wal Islam, atau judul dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya, Persandaran Budak-Budak Yang Baharu Belajar Pada Menyatakan Iman dan Islam, 12 Jamadilawal 1325 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin bin Abdullah, Kampung Gelam Singapura, 1325 Hijrah. Dicetak dengan huruf batu (litografi). Dan anak Haji Muhammad Nur Putih yang ke-10. Haji Abdul Wahhab bin Muhammad Nur tinggal di Mekah, tidak pernah pulang ke dunia Melayu sehingga meninggal dunia di sana.
Daripada karyanya yang berjudul Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim
wat Tarhim dapat diketahui nama guru-guru beliau seperti ditulis pada halaman 26, ``Adalah tarhim yang dianjurkan oleh datuk guru kami, al-'Allamah Husein Pontianak'' seperti yang ditulis akan datang. Adalah Tok Guru Husein bin Sulaiman ini satu masa dengan guru kami asy-Syeikh Mukhtar bin `Atharid al-Batawi al-Bughri, dan guru kami al-'Allamah `Utsman Sarawak, dan guru kami asy-Syeikh `Abdul Qadir (bin Shabir] Mandailing, dan asy-Syeikh Ahmad Khathib Min[ang]kabau. (Syeikh) Husein (bin) Sulaiman ini hafiz al-Quran, cantik parasnya, al-'amil ash-shalih. Ia mengambil ilmu daripada ulama Mekah al-Musyarrafah, seperti: (Syeikh Sayid) Husein al-Habsyi dan lain-lain. Aku tidak tahu ahli Pontianak yang lebih alim daripadanya, berkata guru kami asy-Syeikh Abdul Qadir (bin Shabir) Mandailing, ``Kalau Husein bin Sulaiman tidak selalu turun ke Jawi nescaya boleh ia mengajar di Masjid al-Haram pada waktu Daulah al-'Utsmaniyah itu. Asy-Syeikh Abdul Qadir (bin Shabir) berkata bagiku''.

Pengetahuan

Daripada beberapa maklumat dapat dipastikan bahawa Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani (Pontianak) yang tersebut dalam tulisan di atas adalah saudara sepupu beliau sendiri, kerana sama-sama cucu kepada Haji Muhammad Nur Putih. Oleh itu dapat dipercayai bahawa Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani lebih banyak memperoleh pengetahuan daripadanya jika dibandingkan dengan ulama-ulama lainnya. Walaupun kedua-duanya saudara sepupu tetapi umur Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani jauh lebih tua daripada Haji Abu Bakar kerana Haji Sulaiman (ayah Syeikh Husein) adalah anak daripada isteri pertama Haji Muhammad Nur Putih. Sedangkan Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar) adalah anak Haji Muhammad Nur Putih daripada isteri beliau yang kemudiannya.

Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani pernah mengajar di Masjidil Haram, Mekah, Pontianak dan tempat-tempat lain di Kalimantan Barat, Singapura, Tembilahan dan tempat-tempat lain di Riau Daratan, juga Kepulauan Riau di antaranya pernah tinggal di Pulau Midai dan Pulau Bunguran/ Natuna.

Barangkali sudah jadi sebati dengan keperibadiannya bahawa Tuan Guru Haji Abu Bakar mengajar dengan cara berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Pada akhir hayatnya atau beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia beliau mengajar di beberapa kampung di Seberang Perai dan sekitarnya.

1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi Tahshil Tajwidil Quran, diselesaikan pada 1 Jamadilakhir 1375 Hijrah/14 Januari 1956 Masihi. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai aspek tajwid al-Quran, termasuk perbandingan beberapa qiraah. Cetakan yang pertama oleh Al- Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan, Singapura, 1377 Hijrah.

2. Al-Muna fi Asbabil Ghina, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Syawal 1359 Hijrah. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan tilawah surah-surah tertentu dalam al-Quran, selawat, wirid, doa dan lain-lain sebagai ikhtiar mendapatkan kemudahan rezeki dan kekayaan. Cetakan pertama, Mathba'ah al-'Umariyah, 768, North Bird Road, Singapura, 1359 Hijrah.

3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim
wat Taslim wat Tarhim, judul dalam bahasa Melayu oleh penyusunnya ialah Harapan Orang-Orang Yang Menuntut Kelebihan Khatam Al-Quran Dan Taslim Dan Tarhim, diselesaikan malam Sabtu, jam 12.20, 2 Zulhijjah 1379 Hijrah/
28 Mei 1960 Masihi. Kandungannya membicarakan cara-cara melakukan khatam al-Quran, tarhim yang dibaca menjelang Subuh, taslim yang dibaca bulan Ramadan ketika akan melakukan sembahyang terawih. Selain itu terdapat beberapa amalan lainnya seperti ayat lima, selawat Syeikh Ahmad al-Badawi. Cetakan yang pertama Al-Ahmadiah Press, Singapura, 1379 Hijrah.

Penutup

Demikianlah riwayat Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani, yang meninggal dunia di Singapura pada tahun 1967 Masihi. Pada hari beliau meninggal dunia secara kebetulan saya berada di Singapura, dapat menyaksikan bahawa sangat ramai orang yang hadir menziarahinya, sama ada jenazah masih di rumah mahu pun hingga menghantar ke perkuburannya. Sebagai penutup artikel ini penulis berpendapat bahawa: ``Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang adil supaya kebaikan dapat dikekalkan. Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang zalim untuk memberi nasihat terhadap mereka. Ulama perlu dekat kepada hartawan yang bertakwa dan dermawan untuk memudahkan pembiayaan pendidikan dan dakwah Islam. Ulama perlu dekat kepada orang miskin supaya timbul rasa belas kasihan. Ulama perlu dekat kepada sesama ulama supaya dapat bermuzakarah dan menambah ilmu pengetahuan. Ulama perlu dekat kepada orang yang jahil supaya dapat memberi pendidikan Islam terhadap mereka. Mudah-mudahan kita tetap berpandangan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah insan Muslim, mukmin, ahlul Makrifatullah yang bertakwa kepada Allah s.w.t., bukan lainnya.''

Label:

Selasa, November 06, 2007

Luahan Nurani - Mencari Diri 3

Assalamualaikum.. Alhamdulillah hari ini berkesempatan nak menyambung luahan nurani ku..

Syirik Jali adalah syirik yang nyata di lakukan, contoh seperti menyembah pokok, berjamu ancak dan sebagainya. Perbuatan yang secara nyata manusia lakukan mengakui atau mengagung-agungkan selain dripada Allah. Syirik Khofi pula iala syirik yang tersembunyi yakni di lakukan tanpa kita sedari. Contohnya riya' , takbur dan seumpama dengannya. Kita sebagai manusia yang Allah jadikan sebagai hamba. Malangnya kita terlupa... kita terlupa bahawa segala gerak geri kita adalah dengan kudrat, iradat dan kekuasaannya...

"Tidak bergerak sesuatu walau sebesar zarah tanpa keizinannya"
"Kekuasaan Allah itu meliputi segala yang di langit dan di bumi"

Maka layakkah kita nak takbur, riya', ujub dan sebagainya.? Walau sehebat mana kita, segagah mana pun kita, sekebal mana pun kita , semuanya adalah dengan izin Allah SWT. Bagi mereka yang menuju perjalanan sufi, penyucian diri , syirik khofi adalah antara halangan-halangan mula yang perlu di tempuhi. Bukanlah mudah hendak mengikis sifat-sifat ini di dalam diri . Mungkin di mulut kita boleh cakap " Aku tak takbur, aku tak riya' dengan kebolehanku "
tapi hakikatnya takbur dan riya' bukanlah sebegitu mudah hendak di kikis, bukan sekadar dimulut malah perlulah terzahir di hati. takbur dan riya' wujud hanya sedetik di hati dan wujudnya tanpa kita sedari. Inilah penyakit-penyakit batin yang amat halus sekali. Sukar di tangani . Perlulah berilmu dan beramal dengan sesungguhnya...

Namun ku tak sedari semua ini... aku terus hanyut.. dan hanyut.. dan tenggelam dalam keasyikan yang sebenarnya langsung tiada membawa apa-apa kebaikan pada diri. Rakan-rakan senior ku kata
"Kita belajar ilmu ni untuk persediaan, andai kata Agama Islam kita di ganggu , maka kitalah yang akan keluar menjadi barisan hadapan"
Wah... dengan penuh semangat sekali aku mendengarnya... tapi... benarkah..? Begitukah konsep perjuangan Islam sebenarnya.? Jawapannya mudah di cari kalau kita berfikir, kembali pada sirah Rasulullah dan para Sahabat dalam perjuangan. Melebarkan sayap Islam hingga hampir ke seluruh dunia. Adakah mereka belajar ilmu kebal diri..? ilmu terbang..? ilmu Ghaib..? Menumpaskan musuh dengan pukulan jarak jauh (jurus)..? adakah begitu..?
Tidak..!!! Para Sahabat Rasulullah tidak belajar semua itu, mereka hanya berpegang pada kalimah Syahadatain dan berperang. Masing-masing inginkan Syahid..!! Melainkan dengan izin Allah menzahirkan perkara-perkara mencarik bagi adat pada diri mereka. Itu adalah mukjizat (bagi nabi), karamah (bagi wali) dan maunah (bagi orang yang soleh).

Aku terus asyik dan asyik... meningkat usia, aku sudah menamatkan zaman persekolahan dan menyambung pelajaran di salah sebuah Institut Pengajian. Membataskan pergerakan dan minat aku. Namun diam-diam aku terus mengamalkan apa yang aku pelajari. Sehingga satu hari aku bermimpi.. Aku berada di padang pasir sambil duduk di atas batang kayu tumbang. Data seorang Tok Arab menaiki kuda, berbaju putih dan berpedang. Lantas beliau turun dari kuda dan berkata kepada aku

"Amalkan Surah Aj-Jin selalu, utamakan ayat 1-5, jadikan amalan harian" Katanya dengan muka yang bengis

"Peduli apa aku, suka hatilah aku nak baca apa pun" marah aku pada tok arab tersebut, aku panas hati di paksa-paksa untuk melaksanakan amalan. Lantas beliau menghunuskan pedang dan menetak untuk memisahkan leher dari badanku.

"Asyhadualla ila ha illallah... " Sehingga habis aku mengucap. Tok Arab terhenti sambil berkata

"Nasib baik anta mengucap, ingat apa yang aku cakap... Amalkan" Kata Tok Arab sambil menaiki kuda dan menunggang pergi. Aku terjaga dari tidur.. dan berfikir.. mimpi apakah ini.?

Insyaallah.. di masa hadapan yang terluang, aku akan sambung kisah ku ini..... Wasallam...

Label:

Isnin, November 05, 2007

Luahan Nurani - Mencari Diri 2

Assalamualaikum... sedikit masa yang ku ada.. ku sambung penulisan luahan nurani ku....

Meningkat dewasa.. bersekolah menengah, persoalan yang bermain di fikiran aku sejak sekian lama masih belum terjawab. Mungkin kerana faktor umur, masa dan ekonomi yang terhad menghalang aku dari meneruskan pencarian. Dalam diam, aku cuba menghidupkan seberapa banyak amalan terutama amalan waktu malam... tahjud, hajat serta zikir. Ku kira ianya dapat membantu aku mencari jawapan yang aku cari.... namun... masih belum lagi ku temui...

Perlahan-lahan... sedikit demi sedikit aku makin jauh. Mungkin lantaran kecewa mencari... aku mula jauh dari menyembahNya. Sebelumnya ku rajin beribadat, rajin bangun menghidupkan amalan di waktu malam. Aku mula berubah, perlahan demi perlahan kebiasaan yang sunat ku tinggalkan.
Lama kelamaan yang wajib juga ku tinggalkan. Sebabnya, aku tak dpt nikmat dalam melaksanakan ibadah, aku tak dapat khusyuk dalam ibadah. Puas ku buka dan ku baca buku dan kitab bagaimana hendak khusyuk dalam ibadah, namun masih gagal... aku kecewa... dan tanpa sedar, aku makin jauh dariNya.

Tanpa ku sedari, aku mula tertarik dengan hobi yang baru, minat yang baru. aku tertarik dengan ilmu berkaitan dengan kebatinan. Bersama kawan-kawan yang sama minat, kami sama-sama mencari untuk mencapai hajat kami.

Kebal, Ghaib, Hebat, Jurus, Keris dan yang seumpama dengannya amat menarik perhatian aku. Pantang ku dengar ada guru.. kesitulah akan ku tuju. Bila ku selidiki, rupanya minat ku bukanlah sekadar ikut-ikutan, tapi sebenarnya ia mengalir dari darah daging aku. Aku bukanlah keturunan pendekar atau hulubalang, tapi keturunanku sememangnya dari keturunan yang mengamalkan perubatan dan bidang perubatan alam mistik memang menjadi salah satu bidang kegilaan ku.

Tak perlu ku sebut apa silat yang ku pelajari, tapi kerana kegilaan ini bermacam silat aku ceburi,
aku kutip bermacam-macam jenis amalan dan ku amalkan. Bila di amalkan, terzahir sahaja perkara-perkara yang pelik-pelik yang mencarik adat bagi pemikiran orang biasa, aku menjadi seronok dan asyik.
Aku tak sedar yang sebenarnya di luar pengetahuan aku, apa yang aku amalkan adalah salah dalam syariat Islam sebenarnya.

aku terus asyik.. dan asyik... amal.. dan amal... terzahirnya ilmu bila ku amalkan... tanpa aku sedari terzahirnya sifat riya' , takbur , bongkak , ujub dan sebagainya. Maklumlah kan... ada ilmu bathin... hebat dan kuat. Mujurlah aku bukanlah jenis 'samseng' , aku tetap patuh pada guru yang menyampaikan ilmu pada aku... "Guna hanya bila perlu".

Sehingga aku terjumpa satu guru yang 'power' kata kawan aku. Dia bersetuju untuk memperturunkan ilmunya dengan syarat. Jangan tinggalkan yang wajib dalam Islam.. jika tidak ilmu tak akan menjadi. Sembahyang, puasa dan sebagainya. Lantas aku bersetuju sebab pada fikiranku.. baguslah, belajar ilmu ni sedikit sebanyak dapat membentuk aku menjadi seorang Islam yang sejati di samping belajar ilmu kebathinan. Bodohnya aku... tak aku sedar aku dah terjatuh dalam syirik. Syirik Khofi yakni syirik yang tersembunyi. Aku tak tinggal sembahyang, puasa dsbnya kerana inginkan ilmu hebat, kuat, kebal dan yang seumpama dengannya. Aku sembahyang kerana apa ya..? yang pasti bukan kerana Allah.... hanya kerana inginkan hebat..!!!

Maaf , setakat ini sahaja buat kali ini... akan ku sambung di masa lain... Salam...

Label:

Warisan Ulama' - Ulama' Nusantara

Abdullah Fahim - Ulama mahir ilmu falak
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


     ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim. Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.

     Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah. Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.

     Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi. Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.
Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin)

     Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla' al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).

     Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.

     Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.
Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.

Kepakaran ilmunya:

     Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.
Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957. Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.

     Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor. Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

     Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi. Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.

Karya dan pemikirannya:


     Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.
Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H).
Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya. Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:

``Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``
Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah, ``Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ... ``

     Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal. Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, ``Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis, ``Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah ... ``Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, ``Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu''. Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.

     Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.

     Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis, ``Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din ...''Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, ``Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin''. Abdullah Fahim menegaskan, ``Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.''

Keturunannya:

     Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya.Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia.

Label:

Jumaat, November 02, 2007

Pantunku

Pohon jejarum Pohon Bidara,
Di Tengah Rimba Di Curam Lembah,
Assalamualaikum Pembuka Bicara,
Izinkan Hamba Berpantun Bermadah,

Dahannya Patah Pohon Meranti,
Daunnya Rebah Jatuh Di Kiri
Resah Kesah Gelisah Di Hati,
Bermadah Ku Luah Selesa Diri,

Suasana Indah Di Pancar Suria,
Bunga Selasih Cantiknya Warna
Sayapnya Sudah Terkembang Sedia,
Mengapa Masih Menjejak Buana.?

Hingga Ke Kedah Mencari Galah,
Singgah Di Kota Inderagiri,
Gunung Di Redah Laut Di Belah,
Manakah Permata Yang Aku Cari?

Indah Berkilau Intan Permata,
Cincin Suasa Lekat Di Jari,
Pohon Dan Maaf Akhirnya Kata,
Izinkah Hamba Memohon Diri,

Label:

Warisan Ulama' - Ulama' Nusantara

Abdul Rahman Al-Kalantani - Mufti terakhir kerajaan Mempawah
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

     Ulama-ulama yang dikisahkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia sebelum ini, sebahagian besarnya adalah ulama-ulama pendatang ke Malaysia, terutama yang berasal dari Patani. Berlainan dengan ulama yang diceritakan ini, beliau adalah ulama yang berasal dari Kelantan, Malaysia yang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, Indonesia. Beliau ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani. Tahun kelahirannya tidak diketahui. Beliau meninggal dunia pada tahun 1391 Hijrah/1971 Masihi dalam usia melebihi 80 tahun. Kuburnya terletak di Kampung Pulau Pedalaman, Mempawah.

     Terdapat beberapa ulama yang berasal dari Malaysia dan datang ke Kalimantan Barat sebelum Abdur Rahman, antara mereka ialah Tuan Guru Haji Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah. Makamnya terletak di Kuala Secapah, Mempawah. Haji Ismail bin Abdul Majid berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti di Kerajaan Pontianak. Beliau meninggal di Kelantan.

Pendidikan
     
     Abdur Rahman adalah murid peringkat awal Tok Kenali. Menurut keterangannya sendiri bahawa beliau sempat menadah kitab sewaktu Tok Kenali mengajar di bawah pohon getah, kerana pada waktu itu beliau belum memiliki bangunan surau atau madrasah. Perkara yang sangat ditekankan dalam pendidikan tersebut ialah ilmu nahu dan sharaf. Abdur Rahman sempat mempelajari kedua-dua ilmu itu daripada Tok Kenali mulai peringkat yang paling asas hingga peringkat tertinggi. Sampai hari tuanya, beliau masih tetap menghafal Matan Alfiah Ibnu Malik yang terdiri daripada 1000 bait dan sangat terkenal. Selain Matan Alfiah, beliau juga menghafal matan-matan lainnya.
     
     Antara murid Tok Kenali yang menjadi ulama besar terkenal dan sama-sama belajar dengan Abdur Rahman, bahkan tinggal sepondok, ialah Syeikh Idris al-Marbawi, penyusun Kamus al-Marbawi, tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan Malaysia pertama.
Selanjutnya setelah memperoleh ilmu yang sangat banyak di pondok pengajian Tok Kenali, Abdur Rahman melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Beliau tinggal di Mekah selama belasan tahun.

Perantauan
     
     Begitu lama Abdur Rahman belajar sambil merantau di Mekah dan sekitarnya, sehingga ketika pulang ke Kelantan beliau tidak begitu mesra tinggal di Kelantan, negerinya sendiri. Menurutnya, pada mulanya beliau akan merantau ke Banjar, kerana di sana sangat terdapat ramai ulama. Perancangan awalnya, dari Banjar beliau akan ke pulau Jawa kerana sewaktu berada di Mekah beliau sempat belajar kepada beberapa orang ulama yang berasal dari Jawa, antaranya, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor.

     Dari Kelantan Abdur Rahman menuju ke Singapura dan selanjutnya belayar menuju Sambas. Pada zaman itu Sambas juga terkenal dengan ulamanya yang ramai. Di Sambas beliau tinggal di rumah Syeikh Muhammad Basiyuni Imran, Maharaja Imam Sambas yang sangat terkenal.
Syeikh Muhammad Basiyuni Imran menyarankan supaya Abdur Rahman tinggal di Kerajaan Sambas dan tidak perlu merantau ke Banjar atau ke Jawa kerana Kerajaan Sambas masih memerlukan para ulama. Atas kehendak Syeikh Muhammad Basiyuni, beliau diberikan seorang isteri di Kampung Semperiuk, Sambas. Sekali gus diberi tugas mengajar di daerah tersebut dan beberapa daerah yang berdekatan dengannya.

Mufti dan guru penembahan Mempawah
     
     Setelah beberapa tahun Abdur Rahman menetap di Sambas, beliau diminta pula oleh Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin, Penembahan Mempawah untuk berpindah ke Mempawah bagi mengajar di Istana Mempawah dan sekali gus mengajar di masjid-masjid dan surau-surau dalam pemerintahan Mempawah.

     Sebelum tawaran itu diterima, terlebih dulu Abdur Rahman mengadakan perundingan dan persetujuan daripada Syeikh Muhammad Basiyuni Imran.
Semua yang dijanjikan oleh Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin kepada Abdur Rahman dipenuhi. Pangeran Muhammad Taufiq membahagikan dua jalur penyebaran Islam dalam Kerajaan Mempawah, iaitu sebelah utara ditugaskan kepada Abdur Rahman Kelantan dan sebelah selatan kepada Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ahmad yang berasal dari Banjar. Kedua-dua ulama tersebutlah yang paling terkenal dalam Kerajaan Mempawah sebelum perang dunia kedua.

     Selain sebagai Mufti, mengajar kerabat istana, mengajar di masjid-masjid dan surau-surau, Abdur Rahman juga mendirikan pondok pengajian menurut sistem pondok Patani dan Kelantan yang diberi nama Darul `Ulum.

Catatan peribadi

     Pertama kali sampai di Mempawah pada tahun 1969, penulis tinggal di rumah Tuan Guru Haji Abdur Rahman Kelantan. Di sini penulis sempat bergaul dan belajar kepada beliau, maka dirasakan perlu merakamkan beberapa catatan penting mengenai beliau.Sewaktu perang dunia kedua, ramai pemimpin dan ulama di Kalimantan Barat dibunuh oleh Jepun tetapi Abdur Rahman terlepas daripada tangkapan Jepun.

     Menurut ceritanya bahawa pada suatu hari sesudah sembahyang Subuh, tiba-tiba ada seorang yang tidak dikenali datang ke rumahnya. Orang itu menyuruh beliau segera meninggalkan rumah. Abdur Rahman segera mengikut arahan tersebut. Beliau kemudiannya pergi ke Sungai Bundung, kira-kira 30 km dari Mempawah, iaitu sebuah kampung yang ramai muridnya. Tidak lama kemudian tentera Jepun sampai ke rumahnya tetapi Abdur Rahman tidak berada di rumah. Oleh kerana itu, tentera Jepun langsung menuju Istana Mempawah dan menangkap Penembahan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin dan pembesar-pembesar lainnya.

     Sekiranya beliau berada di rumah, sesudah Maghrib biasanya beliau mengamalkan wirid hingga masuk waktu Isyak. Sesudah makan malam beliau akan berjalan mundar-mandir sekurang-kurangnya seratus langkah. Menurutnya amalan sedemikian untuk penghadaman makanan yang tujuannya menjadikan badan sentiasa segar dan sihat. Sambil melakukan riadah tersebut, kedengaran beliau membaca surah-surah al-Waqi`ah, al-Mulk dan lain-lainnya secara hafalan.

     Beliau akan berhenti mengajar kira-kira pukul 11.00 malam. Pukul 3.00 pagi akan terdengar suaranya mengucapkan zikir dan surah al-Ikhlas sehingga kedengaran azan Subuh.
Peristiwa ini diketahui penulis kerana penulis tidur di bilik yang disediakannya, iaitu bersebelahan dengan bilik tempat beliau tidur dan beramal.

     Jika beliau berada di kediaman muridnya, mengajar di kampung yang berjauhan dari rumahnya, beberapa amalan di atas tetap dikerjakan, ditambah lagi mengajar hingga pikul 12.00 malam. Sesudah mengajar beliau terus mengerjakan beberapa jenis sembahyang sunat dan berwirid kira-kira satu jam lamanya. Sekitar pukul 1.00 pagi barulah beliau merebahkan badannya di atas tempat tidur. Kira-kira pukul 3.00 pagi, beliau bangun lagi untuk berwirid selama satu jam. Lebih kurang satu jam sebelum Subuh beliau mandi. Biasanya, air mandinya disediakan oleh murid-muridnya. Cara mandinya juga mempunyai cara tersendiri, Setiap gayung air yang disiramnya, diiringi dengan bacaan doa. Siraman air sekurang-kurangnya 40 gayung. Selain hal-hal yang tersebut, biasanya murid-muridnya menyediakan kopi yang asli, telur ayam kampung dan madu asli. Semuanya beliau adun dalam air panas. Menurut beliau, amalan tersebut diamalkannya sejak muda lagi dan khasiatnya supaya badan tidak lemah.

     Menurut keterangan anaknya Drs. Haji Abdul Malik, sepanjang pergaulannya dengan beberapa orang ulama di Banjar, Kalimantan Selatan, beliau tidak berjumpa cara-cara melakukan amalan-amalan dengan rutin atau istiqamah seperti yang dikerjakan oleh orang tuanya itu, bahkan tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa bidang penguasaan ilmu Islamnya juga sangat sukar untuk dicari gantinya.

     Segala yang penulis sebutkan di atas mungkin ada benarnya, kerana umur beliau ketika itu telah mencecah lebih 70 tahun. Penulis pernah mengikutnya berjalan kaki sejauh 8 km ke tempatnya mengajar. Beliau berjalan dengan laju tanpa berhenti walaupun sekejap.

Karya dan keturunan


     Karya yang sempat dihasilkannya hanya sebuah, iaitu Qawaninul Mubtadi fil Fiqh yang diselesaikan pada 22 Zulhijjah 1353 Hijrah/27 April 1935 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang fikah dalam bentuk soal jawab. Ia dicetak oleh Mathba'ah al-Masawi, 14 Ulu Palembang.
Abdur Rahman Kelantan berkahwin dua kali. Perkahwinan pertamanya di Kampung Semperiuk, Sambas, memperoleh seorang anak bernama Haji Aziqqi. Beliau memperoleh pendidikan Universiti Al-Azhar, Mesir dan selanjutnya menjadi pensyarah di sebuah universiti di Banjar. Haji Aziqqi meninggal dunia di Banjar. Semua anaknya berada di Banjar, Kalimantan Selatan. Perkahwinan kedua di Mempawah, memperoleh dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Antara anak-anaknya dengan isteri di Mempawah ialah Drs. Abdul Malik yang telah meninggal dunia. Jawatan yang pernah disandangnya ketika hidupnya ialah Kepala Kantor Urusan Wilayah Propinsi Kalimantan Barat di Pontianak. Anak perempuan Abdur Rahman yang bernama Mahfuzah berkahwin dengan Ustaz Hasan Basri, yang aktif memimpin Thariqat Naqsyabandiyah Muzhhariyah.

     Antara murid-murid Abdur Rahman yang masih aktif hingga sekarang ialah Ustaz Haji Zainal Arifin bin Ahmad, Ketua Majelis Ulama Daerah Tingkat II Kabupaten Pontianak di Mempawah. Murid beliau pula ialah Drs. Haji Bujang Rasni, Kepala Pondok Pesantren Usuluddin di Singkawang.

  

Label:

Luahan Nurani - Mencari Diri

Assalamualaikum

     Di lihat pada tajuk, nampak berat tajuk yang cuba ku sampaikan. Aku bertujuan menyampaikan isi hati aku yang dah lama tersirat sejak aku masih kecil lagi. Aku di besarkan dalam keluarga yang sederhana. Kedua orang tua ku memberi didikan agama yang secukupnya. Tambahan lagi Ayahanda ku bekerja di salah sebuah masjid di tempat tinggal ku. Rumah ku pula berada di dalam kawasan masjid, maka masjid adalah rumah kedua ku.

     Sejak kecil masjid menjadi rumah kedua ku, tempat yang selalu menjadi kunjungan ku ialah Khutub Khannah (Perpustakaan). Lebih selesa rasanya menyiapkan kerja-kerja sekolah di situ. Pada masa tu aku masih kecil lagi... masih bersekolah rendah. Ada kala, selesai membuat kerja-kerja sekolah ku, aku merasa bosan. Maka bg mengisi kebosanan, aku selalu menyelongkar khutub khannah mencari apa-apa buku / kitab untuk di baca.

     Selalu membaca, banyak pengetahuan.. tapi timbul juga kekeliruan. Aku baca dalam kitab "sembahyang itu dapat mencegah dari kemungkaran"

tapi apa yang ku lihat ramai yang sembahyang, tapi kemungkaran yang dilakukan macam orang tak sembahyang pun. Mulut tak di jaga , mengumpat , mencemuh , 
mencaci... membuat aku pening.  Di mana yang tak kena..? ku lihat juga mereka yang dah bergelar haji, baru balik menunaikan haji, gerak lakunya baik sekali. Tapi bila dah lama sikit, ku lihat masih melaksanakan kemungkaran. Di mana silapnya..? sejak hari itu, aku mula mencari-cari... apa yang aku cari..? aku sendiri pun tak tahu... mungkinkah aku mencari nilai Islam tu sendiri dalam diri, sejauh mana ia meresap ke dalam diri, sejauh mana ia menjadi pegangan, sejauh mana ia menjadi ikutan....

     Dalam pencarian, teraba-raba aku.. mencari sesuatu yang aku sendiri pun tak tahu... Aku yakin agama ku, Aku yakin Allah... aku yakin dengan penuh jazam semuanya. Tapi aku mohon pada Allah... tunjukkilah aku jalanMu yang kau redhai. Mulai saat itu, sikapku sedikit demi sedikit berubah, menjadi kegemaranku.. memerhati. Aku suka memerhati kejadian sekeliling ku, aku cuba menilai, meneliti serta mengkaji mencari jawapan.

Akan ku sambung pada posting masa hadapan.. masa tak mengizinkan... ampun dan maaf..

Label:

Assalamualaikum Pembuka Bicara

     Assalamualaikum Pembuka Bicara... ini merupakan penulisan pertama aku dalam blog yang baru ku dibuka. Aku bukanlah penulis handalan, madah hebat dan puitis. Aku hanya penulis biasa yang langsung tiada kemahiran dan tiada pengalaman menulis. Berlatarbelakangkan pendidikan yang bukan dari bidang bahasa, aku hanya sekadar suka-suka menulis di sini sekadar untuk mengisi luangan masa yang ada.

     Sebelum ini, banyak ku dengar tentang penulis-penulis blog yang berkarya dan sebagainya. Sesungguhnya aku jarang sekali melayari mana-mana laman blog. Tiada tujuan khusus ku buka blog ini, bermakna tiadalah tema khusus yang ingin ku sampaikan. Buat masa sekarang, apa yang terlintas di fikiranku, aku wujudkan 3 tajuk utama iaitu Sembang Hemoi , Pantunku dan Warisan Ulama

     Sembang Hemoi adalah topik bebas yang aku buka, akan ku biacarakan segala yang terlintas di fikiranku mengikut pandangan perspektif akal ku. Mungkin juga hal semasa , kehidupan atau apa sahaja....

     Ruangan Pantunku pula adalah ruangan untuk ku muatkan pantun-pantun yang pernah ku reka sepanjang aku terlibat dalam dunia internet yang mana sebahagiannya ada dalam simpanan ku manakala sebahagian lagi telah hilang. Akan ku muatkan pantun-pantun koleksi rekaan ku serta pantun-pantun yang ku fikir cantik dan hebat, juga mungkin ku selitkan pantun-pantun lama yang indah dan klasik yang ku perolehi dari buku mahupun dunia cyber ini.

     Ruangan Warisan Ulama pula akan ku muatkan artikel yang pernah keluar dalam dunia cyber ini, majalah atau suratkhabar. Buat permulaan, aku akan muatkan artikel-artikel dari Allahyarham Tuan Guru Wan Mohd Saghir di mana kebanyakan artikelnya aku kutip dan simpan dari Ruangan Bicara Agama dari akhbar. Ku kira sedikit sebanyak kita dapat manfaat dan keberkatan dari ilmu serta maklumat yang Tuan Guru sampaikan.

Penulisan ku adalah bebas, sekiranya menyentuh hati, terusik atau terguris mana-mana pihak, aku pohon ampun dan maaf. Bukanlah niatku mahu aibkan sesiapa, tapi sekadar berpegang pada " Yang Haq Tetap Haq" dan "Katakan Benar Walaupun Pahit.!!".

Sekian.. Salam Untuk Semua...

"Tidak Di Mahkota Sebagai Pahlawan Selagi Diri Tidak Rela Menjadi Korban Kepada Pengorbanan"

Label: